POTENSI GEMPA BUMI DI BUMI BORNEO by Borneo Oracle

Artikel pada kali ini merupakan artikel edisi khas dan ianya bukanlah sebagai satu artikel yang hendak memomokkan semua sebaliknya ianya merupakan artikel yang mengarah kepada kefahaman ilmiah mengapa dan kenapa berlakunya GEMPA BUMI DI MALAYSIA sekarang. Rata-rata ramai rakyat Malaysia seperti terpinga-pinga kerana sudah tentu ramai yang mempercayai kejadian “GEMPA BUMI TIDAK AKAN PERNAH MELANDA MALAYSIA” .. satu kenyataan yang sebenarnya dibuat “separa sedar” kerana apa yang berlaku tidak begitu diperincikan untuk pengetahuan kita semua. Hakikatnya sememangnya ada potensi untuk kejadian gempa bumi berlaku di Malaysia terutama sekali di bumi Sabah memandangkan ianya sebenarnya terlalu hampir dengan apa yang dipanggil Lingkaran Api Pasifik atau Jalur Alpid.

Untuk pengetahuan sekalian, Pulau Borneo sememangnya berpotensi untuk terjadinya “Gempa Bumi” terutama sekali di lokasi yang dipanggil Gunung Lipat Muda. “Gunung Lipat Muda” sebenarnya terjadi kira-kira 35 juta tahun yang dahulu dan disitulah terhasilnya proses mampatan kerak bumi di Bumi Asia dan Pulau Borneo adalah terjadi daripadanya. Lipatan ini bermula dari Pusaran Pamir dan menganjur sehingga ke timur dan akhirnya membentuk beberapa banjaran-banjaran yang sememangnya gah seperti Banjaran Himalaya, Banjaran Karakoram, Kunlu Shan dan Tien Shan.

Selepas itu proses lipatan dari Banjaran Himalaya bersambung dan menganjur sehingga ke tenggara dan melengkok ke selatan Asia Tenggara seperti di Bukit Naga dan Bukit Chin di Thailand serta Arakan Yoma di Myanmar. Proses lipatan ini seterusnya merebak dan membentuk Banjaran Barisan di Sumatera, Jawa Selatan, Bali, Flores, Banda, Sulewesi dan Banjaran Kapuas Hulu, Banjaran Iran di Sarawak serta Banjaran Crocker di Sabah.

Proses lipatan yang menyebar ini juga menyebabkan pulau-pulau di luar pantai barat Sumatera seperti Pulau Nias, Kepulauan Mentawai dan Pulau Timor terbentuk. Sebahagian Asia Tenggara mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana ianya terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik. Namun begitu Malaysia bukanlah negara yang berada di dalam Lingkaran Api Pasifik tetapi itu tidak bermakna ianya selamat kerana ada satu negeri di dalam Gagasan Malaysia iaitu Sabah sebenarnya terlalu hampir dan amat terdedah untuk mendapat kejadian gempa bumi kerana plat pertembungan di Banjaran Crocker yang terletak di daerah Rugading, Ranau, Sabah sehingga ke daerah Tawau sering bertembung yang menyebabkan kebarangkalian untuk mendapat gempa bumi itu ada.

Namun begitu, gempa bumi di kawasan-kawasan ini tidak akan boleh menghasilkan letusan gunung berapi kerana ianya dikenali dengan nama “Kawasan Lipasu” iaitu satu kawasan seismic yang belum stabil sepenuhnya. Jadi sekiranya ada kejadian-kejadian gempa bumi jadi ianya adalah normal kerana kawasan yang di dalam gunung lipat muda sememangnya mempunyai fenomena yang sebegitu. Kawasan ini menurut istilah nya hanya akan menghasilkan gegaran yang tidak lebih daripada 6 skala richter dan tahap kedalaman adalah antara 0 sehingga 50 kilometer.

Melihat kepada suasana terkini yang berlaku di Ranau, Sabah semalam iaitu pada 5/6/2015 dengan suasana yang sudah tentu mendatangkan suasana panic kepada seluruh rakyat di bumi Sabah yang terlibat adalah molek sekiranya pihak yang berwajib untuk mengadakan sistem pendidikan tentang “SOP Earthquake” kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kita tidak tahu apa yang terjadi kelak. Hal seperti ini tidak harus dipandang remeh kerana dengan pendidikan dan kesedaran sudah tentu kita sebagai rakyat akan tahu apa yang harus dilakukan agar dapat mengelak daripada sebarang kejadian yang lebih buruk berlaku.

Berikut merupakan sejarah gempa bumi yang pernah melanda daerah Ranau suatu waktu dahulu sehingga sekarang.

Awal 1960an – Dengan kekuatan 5 skala ritcher

26.5.1991 – Kekuatan gegaran 5.5 sehingga menyebabkan
Bangunan Guru di SMK Mat Salleh tidak selamat diduduki.

3.2.2005 – Kekuatan gegaran 4.1 skala richter

2010 – Kekuatan gegaran 2.6 skala richter

5.6.2015 – Kekuatan gegaran 5.9 skala richter merupakan antara kekuatan gegaran yang paling tinggi pernah dicatatkan di Ranau dan kawasan sekitarnya sehingga menyebabkan banyak kerosakan dan infrastruktur musnah. Dan setakat ini 2 nyawa sudah terkorban dan cedera serta ramai lagi pendaki masih terkandas di atas Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Malaysia.

Selain daripada kawasan Ranau, ada beberapa kawasan seperti di Kunak dan Sandakan juga pernah menerima gegaran gempa bumi memandangkan ianya berada hampir dengan Jaluran Alpid yang membentang di kawasan lautan.

Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba memahami apa yang berlaku sekarang dan sesungguhnya kejadian alam ini mungkin boleh menyedarkan kita tentang betapa bagusnya sekiranya kita mempunyai tahap kesedaran yang baik tentang apa yang berlaku di sekitar kita. Sekala 6 richter adalah dijadualkan sebagai gempa bumi sederhana dan walau di dalam sederhananya juga masih mampu mengundang pelbagai bahaya kepada keselamatan nyawa manusia.

Untuk rakyat di Sabah terutama sekali di kawasan Ranau dan sekitarnya yang sebenarnya masih lagi menerima gegaran susulan, kami team admin Borneo Oracle akan terus berdoa untuk keselamatan anda semua kerana Bangsa Sabah juga saudara terdekat Bangsa Sarawak. Tabahlah menghadapi dugaan Tuhan ini dan ikutilan apa jua yang disarankan oleh pihak berkuasa Malaysia.

‪#‎PrayForSabah‬
‪#‎KamekSayangSabahBah‬!
‪#‎KamekSayangSarawakBah‬!

BORNEO ORACLE:
https://www.facebook.com/BorneoOracle

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *